LATAR BELAKANG
Pada peringkat awal penubuhan, Sekolah Kebangsaan Kubu bermula di sebuah tapak berhampiran dengan sungai Pengkalan Berangan dikenali sebagai sekolah umum. Pada waktu itu, penempatan penduduk terletak berhampiran dengan sungai tersebut. Sungai ini menjadi nadi utama sebagai jalan perhubungan penduduk setempat ke pekan berhampiran iaitu Pengkalan Berangan dan Marang.
Pada waktu itu, penduduk kampung merasakan pendidikan amat diperlukan. Sehubungan itu, maka seorang perintis telah membuka sebuah tempat belajar untuk orang Kampung Kubu. Pada awal penubuhan, para pelajar hanya belajar di sebuah bangsal bertiangkan batang nibung dan beratapkan daun sagu serta beralaskan bangku kayu. Tarikh permulaan sekolah diasaskan oleh Cikgu Ismail bin Othman dari Pekan Marang dalam tahun 1956.
Bilangan murid pada ketika itu seramai lebih 22 orang. Sekolah ini juga digunakan bagi orang-orang dewasa pada sebelah malam untuk belajar ( sekolah orang-orang dewasa ) yang mana Abdul Majid bin Salleh selaku guru, kini tinggal di Kampung Tasek, Kubu.
Seterusnya, pada tahun 2002 keseluruhan sekolah diganti dengan bangunan dan kemudahan baru di bawah peruntukan Projek RMK ke-8. Keluasan tapak sekolah adalah seluas 6.5 ekar. Pada bulan Oktober 2003, Sekolah Kebangsaan Kubu mula beroperasi sepenuhnya di bangunan baru.